CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, November 4, 2007

GEJALA SOSIAL DAN KEMISKINAN

GEJALA sosial dan kemiskinan merupakan dua isu yang turut melanda sebilangan masyarakat kita. Kedua-dua isu kini sering disebut dan semakin meningkat dari setahun ke setahun. Ia bukan sahaja mendapat perhatian dari para pemimpin malahan masyarakat umum.

Usaha menangani isu tersebut sewajarnya dipertingkatkan bukan sahaja oleh agensi-agensi berkenaan dalam kerajaan, malah semua peringkat dan sektor dalam masyarakat termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan seumpamanya.

Banyak faktor yang menjadi penyebab berlakunya keadaan tersebut. Kedua-dua isu itu juga berkait rapat antara satu sama lain. Catatan menunjukkan terdapat sebilangan yang termasuk dalam kategori orang miskin itu terdiri dari individu atau keluarga yang bermasalah sosial.

Sebaliknya sebilangan individu dari keluarga yang susah dan bermasalah serta tidak terurus dari segi pendidikan dan pengetahuan agama juga boleh terjerumus ke kancah gejala sosial.

Ruangan FOKUS kali ini akan membincangkan secara ringkas kedua-dua isu di atas dengan memberikan penumpuan kepada isu kemiskinan kerana isu sosial telah pernah ditulis dalam ruangan ini.

GEJALA SOSIAL

Secara ringkas isu gejala sosial melanda masyarakat moden tidak terkecuali di negara kita ini terutama golongan remaja. Antara gejala sosial yang dihadapi termasuklah pergaulan bebas, samseng, rompakan, penipuan, penderaan, sumbang mahram, penyalahgunaan dadah, minum arak dan pelbagai lagi.

Melalui kajian yang dibuat oleh pihak berkenaan, gejala-gejala tersebut antaranya adalah disebabkan oleh pengaruh kehidupan moden, kurang pendidikan, kurang disiplin, kurang pengetahuan agama, keluarga yang bermasalah, pengaruh persekitaran dan kawan-kawan, pengaruh media, kurang pengelingaan dan pemantauan oleh keluarga dan seumpamanya.

Dalam hal ini semua pihak perlu meningkatkan usaha menanganinya secara bersepadu. Ibu bapa perlu memberikan kasih sayang dan didikan sempurna kepada anak-anak. Mereka perlu diasuh dengan disiplin, adat resam, tatasusila dan nilai-nilai murni kehidupan.

Selain dari itu anak-anak juga perlu diberikan pengetahun agama yang sempurna. Insya-Allah ia akan dapat menjadi benteng kepada mereka dari terpengaruh atau terjebak dengan perkara-perkara negatif yang bukan sahaja akan merosakkan kehidupan mereka, malah akan membebankan keluarga.

Pada masa yang sama, negara juga terancam dengan kegiatan-kegiatan negatif itu, di samping terpaksa menanggung beban dari segi kos pengawalan dan pemulihan. Ramainya golongan bermasalah ini juga boleh menjejaskan keharmonian, keamanan, kesejahteraan dan pembangunan negara.

Ke arah itu semua pihak harus bertanggungjawab dalam menangani isu-isu gejala sosial ini supaya dapat dikurangkan dari terus berleluasa. Usaha menanganinya bukan sahaja dibebankan kepada agensi-agensi kerajaan malahan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan orang ramai juga hendaklah turut sama berusaha menanganinya.

Program-program dan strategi perlu disusun secara lebih mantap dan berkesan. Kesedaran perlu ditanamkan kepada masyarakat umum melalui pendidikan, ceramah seminar, kursus-kursus sivik, di samping memperbanyakkan aktiviti-aktiviti berkebajikan yang boleh menjurus masyarakat mengamalkan cara hidup sihat dan positif.

KEMISKINAN

Pada masa lampau, fakir miskin di negara ini kebanyakannya terdiri dari orang-orang tua, penghidap-penghidap penyakit, orang-orang yang cacat anggota dan akal, balu-balu yang menyara ramai tanggungan dan anak-anak yatim piatu. Mereka yang susah ini bergantung kepada bantuan kebajikan dan wang zakat.

Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan bertambahnya penerima bantuan dan wang zakat terdiri dari mereka yang dalam lingkungan umur serta mempunyai tubuh badan yang sihat untuk bekerja dan menyara kehidupan.

Golongan di atas terdiri mereka yang bermasalah sama ada terlibat dalam jenayah, gejala sosial yang menjadikan mereka menganggur dan tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan. Sebilangan mereka ini pula sepatutnya perlu menyara isteri dan anak-anak.

Sebilangan lagi penerima bantuan kebajikan dan wang zakat terdiri wanita-wanita yang mengalami perceraian atau suami mereka bermasalah. Disebabkan tidak mempunyai mata pencarian dan terpaksa pula memikul tanggungjawab menyara anak-anak maka mereka memerlukan bantuan kebajikan dan wang zakat.

Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat sebilangan anak-anak muda dan murid sekolah yang juga turut bergantung kepada bantuan tersebut. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku terutama kepada anak-anak muda yang segar-bugar dan berupaya untuk menjalankan sebarang usaha dan pekerjaan.

SENARIO

Dari senario di atas kita dapat melihat faktor-faktor penyebab berlakunya kemiskinan di kalangan masyarakat di negara ini. Ada di antara penerima bantuan dan wang zakat itu disifatkan sebagai 'wajar' dan ada pula di antaranya yang tidak sepatutnya berlaku.

Bagi mereka yang benar-benar tidak berkemampuan dari segi fizikal untuk mencari nafkah atau menyara keluarga yang ramai tanpa pendapatan mencukupi disebabkan keadaan yang munasabah, maka itu masih boleh dianggap wajar.

Apa yang tidak 'wajar' ialah mereka yang mempunyai tubuh badan dan mental yang sihat tetapi terjebak dengan gejala sosial atau menganggur, malas dan memilih kerja. Usaha perlu dilakukan untuk menghindarkan sikap seperti ini dengan memberikan kesedaran dan seterusnya menjurus mereka untuk bersikap positif.

Kesedaran perlu diberikan supaya mereka bersemangat maju, berdikari dan rajin berusaha, mencari pekerjaan, tidak melibatkan diri dengan gejala-gejala sosial, di samping menghindari dari sifat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Seperkara lagi yang patut dielakkan oleh masyarakat kita ialah sikap atau budaya terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan terutama bagi mereka yang mampu bekerja. Janganlah menganggap bahawa bantuan kebajikan dari agensi-agensi kerajaan itu sebagai jalan keluar untuk mengatasi masalah.

Kita difahamkan bahawa penerima yang mempunyai keluarga yang agak ramai menerima bantuan bulanan agak besar jumlahnya, boleh dikatakan setara dengan gaji seorang buruh atau pekerja peringkat bawahan.

Keadaan tersebut membuatkan sebilangan orang sentiasa berasa 'selesa' dan berterusan bergantung kepada bantuan selain menjadikan mereka malas untuk mencari pekerjaan tetap. Ada di antaranya lebih suka mencari pendapatan sambilan untuk menambah bantuan yang diterima berbanding mencari pekerjaan tetap kerana takut bantuan akan dipotong.

Menyentuh mengenai pelbagai bantuan kebajikan ini, jika kita perhatikan sebilangan masyarakat sudah tidak lagi berasa 'segan atau malu' untuk memohon bantuan meskipun mereka masih mampu untuk bekerja. Memohon bantuan kebajikan sudah dianggap perkara 'biasa' atau semacam 'hak' yang perlu didapatkan dari kerajaan dan pihak-pihak berkenaan.

Sesetengah pemohon pula cuba mencari pelbagai alasan agar dapat memenuhi syarat dan dikategorikan sebagai penerima. Apa yang perlu difahami oleh pemohon ialah dari segi 'hukum dan ajaran agama' termasuk dari segi 'moral' kerana bantuan tersebut merupakan 'hak' mereka yang benar-benar berhak.

Terutama bagi agihan zakat, pemohon mestilah benar-benar berhak dan termasuk dalam asnab yang ditentukan. Perlu diingat bahawa agihan zakat itu adalah hak bagi fakir miskin dan mereka yang termasuk dalam asnab penerima. Bagi mereka yang tidak berhak maka adalah berdosa dan haram mengambil hak orang lain.

BERTAMBAH

Jumlah fakir miskin di negara ini bertambah dari setahun ke setahun. Dari 13,298 orang pemohon yang layak dikategorikan fakir miskin pada tahun lepas meningkat kepada 19,420 pada tahun ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dalam satu temu bual menyatakan usaha sedang dan akan dijalankan antaranya termasuk mengkaji semula skim-skim yang sedia ada di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) untuk menjadikan bantuan kepada fakir miskin tersebut sebagai Skim Bantuan Tetap Bulanan selama dua tahun.

Yang Berhormat menjelaskan, penelitian rapi akan dibuat ke atas kelayakan seramai 19,420 itu bagi memastikan adakah mereka benar-benar tergolong dalam asnab fakir miskin.

Pada masa yang sama usaha ke arah mengeluarkan mereka dari kemiskinan ialah mengenal pasti dari jumlah tersebut majoritinya adalah dalam lingkungan orang yang boleh bekerja atau masih mempunyai pekerjaan tetapi tidak mempunyai kecukupan kerana mempunyai tanggungan yang ramai.

Apa yang perlu dipastikan, jelas Yang Berhormat, mereka tidak selama-lamanya miskin atau berterusan tersenarai sebagai fakir miskin sehingga membawa kepada generasi atau zuriat mereka akan datang.

Mengenai kadar atau sukat-sukat kategori kemiskinan bagi negara ini, kita tidak mempunyai garis pandu yang muktabar. Bagaimanapun pihak MUIB dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menggunakan kaedah, umpamanya keperluan asasi (makan) seseorang itu sekurang-kurangnya $60.00 seorang, wang saku sekitar $200.00 setiap ketua keluarga dan keperluan anak sekolah $60.00 sebulan.

Bagi tujuan penjimatan, agihan zakat harta yang biasanya diberikan bersama zakat fitrah dalam bulan Ramadan akan dibayar secara bulanan (selama 12 bulan) yang keseluruhannya berjumlah $10 juta.

Setiap ketua keluarga akan menerima agihan hasil zakat harta sebanyak $1,200.00 setahun dan tanggungannya menerima $360.00. Bermakna dalam masa sebulan ketua keluarga akan menerima $100.00 dan tanggungan sebanyak $25.00 sebulan selama setahun. Ia akan diteruskan pada tahun hadapan jika mereka masih tersenarai.

Selain dari agihan zakat, fakir miskin dan mereka yang tidak berkemampuan di negara ini juga menerima bantuan bulanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

KESIMPULAN

Melihat kepada senario di atas maka kaedah dan mekanisme perlu dicari untuk mengeluarkan mereka dari kategori kemiskinan. Bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan, usaha melalui pelbagai pihak hendaklah dibuat untuk memberikan mereka pekerjaan sama ada di sektor awam atau swasta.

Sebilangan lagi perlu dijurus dan dibimbing untuk berusaha atau berdikari mengikut kecenderungan dan kebolehan masing-masing sama ada berniaga secara kecil-kecilan, bertani, bertukang, menjadi nelayan, berusaha dalam penghasilan produk, bergiat dalam bidang masakan, jahitan dan sebagainya.

Akhirnya: Bijak bistari menyatakan, 'jika diberikan ikan pasti akan habis, tetapi dengan memberikan pancing mereka akan berterusan memanfaatkannya'.

0 comments: